Selasa, 11 Maret 2014

Browse » home» » » » » » Kebakaran Paling Besar Di Australia

Kebakaran Paling Besar Di Australia



Sydney – Pasukan bomba Australia kelmarin berdepan keadaan paling mencabar dalam tempoh beberapa dekad kerana beberapa kebakaran besar berpotensi mengancam Sydney.

Lebih 200 rumah musnah dan 120 lagi rosak akibat kebakaran hutan yang berlaku di seluruh negeri New South Wales berikutan cuaca panas minggu lalu, dibantu angin kencang.

Kebakaran paling buruk adalah di Blue Mountains, barat Sydney, yang menyebabkan ibu kota Australia itu gelap pada tengah hari apabila asap dan abu memenuhi langit.

Tiga kebakaran berasingan

Seorang lelaki maut setakat ini dalam usaha menyelamatkan hartanya. Tiga kebakaran berasingan berterusan di Blue Mountains sejak kelmarin.

Ramalan suhu meningkat dan angin kencang memaksa Ketua Menteri New South Wales, Barry O’Farrell, mengisytiharkan darurat yang memberi kuasa kepada pasukan bomba memaksa penduduk berpindah dan mengenakan denda kepada yang enggan berbuat demikian.

“Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan, tetapi penting bagi Perkhidmatan Bomba Pedalaman (RFS) dan perkhidmatan kecemasan lain mempunyai kuasa dan sumber yang diperlukan untuk menangani ancaman ini.

Kami merancang yang terburuk tetapi berharap yang terbaik,” katanya.

Pegawai mengeluarkan ramalan menakutkan mengenai cuaca buruk sehingga esok, dengan jurucakap bomba berkata memang ada kemungkinan tiga kebakaran di Lithgow dan dua lagi di Blue Mountains, boleh membentuk menjadi satu dalam masa terdekat.

Sydney terancam

“Kami faham kesannya kerana ia akan masuk ke Sydney. Kami amat bimbang jika keadaan itu menjadi kenyataan,” kata jurucakap RFS.

Pinggir bandar raya Sydney cuma di seberang Sungai Nepean yang terletak di kaki gunung itu.

Bara api melepasi tebing sungai Khamis lalu dan memulakan kebakaran di Castlereagh yang berhampiran Penrith.

Kira-kira 76,000 orang tinggal di sekitar Blue Mountains manakala bilangan penduduk Sydney adalah 4.4 juta.

Pesuruhjaya RFS New South Wales, Shane Fitzsimmons, berkata anggotanya akan berdepan cabaran besar beberapa hari lagi, dengan suhu dijangka meningkat selain angin kencang. – AGENSI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar